Saturday 28 May 2011

BN Tidak Risau Hadapi Pilihan Raya - D. S Najib

KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Barisan Nasional tidak risau untuk menghadapi pilihan raya berasingan jika negeri-negeri di bawah kerajaan pembangkang enggan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan pilihan raya ke-13 diadakan secara serentak, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, ini kerana Barisan Nasional (BN) tidak boleh mempengaruhi keputusan negeri-negeri yang ditadbir pakatan pembangkang termasuk tidak membubarkan DUN masing-masing apabila kerajaan memutuskan untuk mengadakan pilihan raya umum.

"Kita tak boleh tentukan apa dia akan buat, kita cuma boleh tentukan apa yang kita boleh buat.

"Jadi saya tak risau apa dia akan buat sebab saya tak boleh kawal apa dia akan buat, saya akan bagi pandangan yang berat pada apa saya boleh buat," kata Najib pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di ibu pejabat parti itu di sini.

Najib berkata, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, kerajaan negeri boleh menasihati Sultan atau Yang Dipertua Negeri untuk membubarkan DUN atau tidak.

"Raja ada kuasa untuk menolak permohonan tapi tiada kuasa untuk membubar. Itu kedudukan dari segi perlembagaan," katanya.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sebelum ini berkata, negeri-negeri di bawah pentadbiran pakatan pembangkang tidak akan membubarkan DUN sekiranya kerajaan persekutuan membubarkan Parlimen tahun ini.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment