Friday 6 May 2011

SUPP Atasi Kelemahan Untuk Hadapi PRU 13

MIRI, 6 Mei (Bernama) -- Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) akan mengambil segala langkah bagi memperbaiki kelemahan mereka semasa pilihan raya negeri yang baru berlalu sebagai persediaan menghadapi pilihan raya Parlimen nanti.

Setiausaha Penganjurnya Datuk Seri Peter Chin berkata parti itu sedang mejalankan post-mortem menyeluruh bagi mencari penawar kepada kelemahan mereka sehingga tewas 13 kerusi semasa pilihan raya negeri.

"Pilihan raya negeri yang lalu adalah seperti raptai kepada kami untuk melihat sejauh mana kami telah bersedia dan kini kami perlu mencari segala masalah yang kami hadapi sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat SUPP cawangan Miri dan Sibuti.

Chin yang juga Anggota Parlimen Miri dan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air berkata agar sukar untuk mengenal pasti tahap persediaan SUPP bagi menghadapi pilihan raya Parlimen kali ini ekoran keputusan pilihan raya negeri yang baru berlalu.

Beliau berkata di Miri, SUPP telah bekerja kuat dan membuat segala persediaan pada pilihan raya negeri tetapi masih tidak mencukupi untuk mengelak kekalahan kepada DAP di kawasan Piasau dan Pujut serta hanya menang tipis di Senadin.

Di Piasau, Presiden SUPP Tan Sri Dr George Chan yang menyandang kerusi itu selama enam penggal tewas kepada pendatang baru DAP, Ling Sie Kiong sementara Andy Chia Chu Fatt tewas kepada calon DAP Fong Pau Teck di Pujut.

Di wilayah utara, SUPP mengekalkan kerusi di Senadin menerusi Datuk Lee Kim Shin yang menang dengan majoriti 58 undi ke atas calon PKR Michael Teo Yu Keng.

Mengenai dua calon DAP yang menang itu, Chin berkata SUPP akan memantau prestasi mereka sama ada mereka dapat menunaikan janji mereka kepada rakyat semasa berkempan.

"Mereka (DAP) telah menonjolkan diri mereka sebagai berupaya membuat perubahan lebih baik dan saya mahu melihat apa perubahan yang bakal berlaku di Miri," katanya.

No comments:

Post a Comment